Hari Selasa, 13 Zulhijjah 1446H bersamaan 10 Jun 2025M
Ibadah korban adalah merupakan sunat muakkad yang sangat digalakkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Dari segi istilah korban, ianya bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada setiap 10 Zulhijjah dan Hari-Hari Tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya juga turut sama meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini dengan mengadakan majlis ibadah korban yang dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan. Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Betabur, Bangunan Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan; Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) Kementerian Pembangunan Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastuktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan; Ketua-Ketua Jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dikepalai oleh Yang Mulia Awang Mohamad Azizul Rahman bin Saban, Pegawai Kemajuan Perumahan Kanan, diikuti dengan sebuah ceramah khas bertajuk “Di Sebalik Darah Yang Mengalir” yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Da’wah Islamiah, Yang Mulia Ustaz Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Kemuncak majlis ialah pengagihan daging korban yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis dan juga Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan kepada seramai 60 orang warga Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan juga kepada seramai 40 orang asnaf yang bermastautin di kawasan Mukim Berakas dan sekitarnya. Sebanyak 3 ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis tersebut.


Majlis diakhiri dengan doa selamat dibacakan oleh penceramah undangan.